Jagat, bukan filem 'biasa-biasa' - Hassan Muthalib

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


KUALA LUMPUR: Bermula dengan filem The Journey, kini sebuah lagi filem tempatan bukan bahasa Melayu mendapat tempat di hati pencinta filem.

Sebuah filem Tamil, Jagat yang mula ditayangkan 17 Disember lalu dikatakan penuh dengan maksud tersirat dan pendekatan sinematik yang lain dari yang lain selain divisualkan cukup cantik di mata penonton.

“Bagi saya Jagat bukan filem 'biasa-biasa', ia filem luar biasa,” hambur pengkritik filem terkenal, Hassan Muthalib sewaktu ditanya pendapatnya mengenai filem arahan Shanjey Kumar Perumal itu.

Hassan yang cukup terkenal dengan kelantangannya menelanjangkan baik buruk sesebuah filem tempatan, kedengaran cukup kagum dengan karya Shanjey.

“Filem yang baik ada tiga kriteria, sama ada filem itu menghiburkan, memperkatakan tentang bangsa dan negara atau menceritakan mengenai sesuatu  budaya.

“Ketiga-tiga ciri itu ada pada Jagat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Hassan yang meletakkan Jagat antara tiga filem terbaik tahun 2015 turut memuji bagaimana watak-watak yang dimainkan dalam Jagat dipersembahkan dengan syot yang kontra sebagai penekanan kepada peranan watak.

“Teknik yang dibawakan adalah satu pembaharuan buat filem kita selain kaya dengan bahasa filem tersendiri.

“Pujian harus diberikan kepada Shanjey kerana tidak ramai antara penonton yang mempunyai ilmu dalam filem dan tanggungjawab karyawan untuk membawa ilmu itu kepada mereka yang menonton. Shanjay berjaya melakukannya,” katanya.


Hassan turut menyeru semua karyawan untuk menghasilkan filem yang lahir dari hati mereka sendiri demi memastikan nyawa industri filem Malaysia terus terbela.

“Ini filem yang perlu diberi perhatian. Banyak karyawan baru hadir memberikan impak yang baik kepada industri dan menghasilkan filem yang bukan hanya menterjemahkan teks kepada visual. Ini sesuatu yang bagus untuk industri.

“Mereka (karyawan baru) menghasilkan filem bukan semata-mata memenuhi kehendak penonton tetapi filem yang dekat dengan hati mereka sendiri. Itu sebab ia terhasil dengan lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, filem Jagat dilaporkan diberi waktu tayangan yang tidak wajar oleh pempamer seluruh negara kerana mendakwa lebih tumpuan diberikan kepada filem luar negara.
Kata Hassan, kerajaan juga perlu mewujudkan sebuah panggung wayang khas untuk filem-filem tempatan agar sistem monopoli yang selama ini membebankan karyawan tempatan terhapus.

“Sudah berpuluh tahun industri filem luar negara ‘membuli’ industri kita. Sudah tiba masa kita perlu ada panggung sendiri,” tegasnya.

Bagi tahun 2016, Hassan turut memberitahu beliau menantikan dua filem tempatan menyeri industri.

“Saya tunggu filem ‘Redha’ karya pengarah baru Tengku Mona dan 'Highway To Hell' arahan Mamat Khalid.”

Sumber : astroawani


2 comments:

Powered by Blogger.