Persatuan Kebajikan Ronald McDonald tandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia

Persatuan Kebajikan Ronald McDonald tandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia

MoU bakal menyaksikan pembinaan Rumah Ronald McDonald kedua di Malaysia dalam kawasan Hospital USM di Kelantan



KUBANG KERIAN, 29 Julai 2018 – Persatuan Kebajikan Ronald McDonald atau Ronald McDonald House Charities (RMHC) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membina sebuah Rumah Ronald McDonald di dalam kawasan Hospital USM. Rumah Ronald McDonald di Hospital USM ini merupakan yang kedua di Malaysia dan pembinaannya bertepatan dengan misi untuk meringankan beban keluarga pesakit pediatrik dengan memastikan mereka mempunyai tempat tinggal sementara yang dekat dengan anak mereka yang menjalani rawatan perubatan di hospital.


Rumah Ronald McDonald yang pertama telah dibina pada tahun 1999 di dalam kawasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Kuala Lumpur. Dirasmikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Rumah Ronald McDonald di PPUKM merupakan yang pertama di Asia dan telah menjadi rumah persinggahan untuk lebih 850 keluarga pesakit pediatrik sehingga kini.


Apabila siap dibina pada awal tahun 2019 kelak, Rumah Ronald McDonald di Hospital USM akan menjadi tempat tinggal sementara untuk keluarga kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di hospital. Rumah ini bakal mempunyai 18 bilik yang boleh menempatkan antara 4 hingga 6 katil setiap bilik. Setiap bilik turut dilengkapi dengan bilik air sendiri.

Selain bilik keluarga, Rumah Ronald McDonald yang baharu ini juga bakal menawarkan kemudahan seperti ruang makan, ruang TV dan istirahat, dapur, bilik mesin basuh dan juga taman permainan. Selain itu, Rumah ini turut menyediakan Bilik Sensori Ronald McDonald yang membantu perkembangan kanak-kanak istimewa dengan bantuan peralatan multi-deria khas.


“MoU pada hari ini dengan USM merupakan satu lagi detik bersejarah bagi RMHC Malaysia dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan pembinaan Rumah Ronald McDonald kedua di Malaysia dapat direalisasikan. Ia dijangkakan bersedia mengalu-alukan kehadiran keluarga pesakit pediatrik pada awal tahun hadapan. Kami komited untuk menyediakan kemudahan yang selesa dan berpatutan demi memastikan keluarga dapat berada dekat dengan anak-anak mereka,” kata Azmir Jaafar, Presiden RMHC.

“Kami amat berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh Hospital USM dan kami percaya kemudahan ini dapat memberi banyak manfaat kepada keluarga dan anak-anak mereka yang sedang mendapatkan rawatan di hospital ini,” tambah Azmir yang juga merupakan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.


Melalui MoU ini, Hospital USM akan menyediakan satu ekar tanah di dalam kawasan hospital untuk pembinaan Rumah Ronald McDonald manakala RMHC pula akan membina rumah ini yang siap dengan kelengkapan dan perkakasan yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM4 juta. Perbelanjaan mentadbir dan operasi akan ditanggung bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM berkata, “USM menyambut baik kerjasama strategik bersama RMHC, sebuah badan kebajikan berdaftar dengan objektif membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dari aspek pendidikan, kesihatan dan juga sosial.”

Pembinaan Rumah Ronald McDonald akan membantu memenuhi keperluan masyarakat, khususnya mereka dari kategori B40 yang merupakan 80% pesakit yang mendapat rawatan di Hospital USM. Sebagai contoh, dalam tempoh enam bulan pertama (Januari hingga Jun 2018), Hospital USM menerima sejumlah 3,015 pesakit di wad pediatrik, yang datang dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.


Kerjasama ini secara tidak langsung mampu melonjakkan lagi persepsi positif masyarakat khususnya keluarga pesakit, serta pihak-pihak yang berkepentingan dengan USM. Selain daripada itu, ianya turut memperkukuhkan jenama USM amnya dan Hospital USM khasnya sebagai hospital pakar serta menjadi rujukan dalam pelbagai disiplin perubatan dan kesihatan di Pantai Timur selain membuka pelbagai pintu kerjasama yang lebih luas dan strategik bagi kedua-dua belah pihak. Hal ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan untuk menjadikan USM sebagai Universiti Pilihan.

“Kami kini dalam usaha kearah mewujudkan kerjasama menerusi sokongan dana kewangan bagi projek perubatan komuniti seperti pembedahan sumbing bibir dan lelangit selain peluang kerjasama sokongan dana bagi projek penyelidikan berkaitan kanak-kanak yang boleh diterokai bagi memberikan peluang dan kehidupan yang lebih selesa kepada pesakit kanak-kanak di seluruh negara. Ini adalahseiring dengan visi USM ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’,” kata Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM.



Semasa majlis menandatangani MoU ini, USM telah diwakili oleh Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, manakala RMHC diwakili oleh Azmir Jaafar.

Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Mulia Tengku Tan Sri Dr Mahaleel Tengku Ariff, Ahli Lembaga Gabenor USM dan Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Abdul Rahman, yang mewakili Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, Pengarah Kampus Kesihatan USM dan Hospital USM.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan untuk pembinaan Rumah Ronald McDonald yang baharu ini boleh berbuat demikian menerusi tabung yang terdapat di restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut dan lain-lain cara untuk membuat sumbangan, sila layari https://rmhc-malaysia.my.


                                                                        -TAMAT-
Latarbelakang RMHC

RMHC Malaysia telah ditubuhkan pada Februari 1990 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk mewujudkan, mencari dan menyokong program-program yang mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia. RMHC menjalankan empat program utama untuk menyokong teras Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan. Program-program ini ialah Rumah Ronald MvDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan Program Pek Kembali ke Sekolah. Sejak 28 tahun lalu, RMHC telah memberi impak dalam kehidupan lebih 20,000 kanak-kanak melibatkan kesihatan, pendidikan dan kebajikan dengan pembiayaan lebih RM16 juta. Dana untuk program-program yang dijalankan diperoleh daripada sumbangan ikhlas individu menerusi tabung yang terdapat di sestoran-restoran McDonald’s dan juga tajaan serta sumbangan dari rakan korporat. Untuk maklumat lanjut mengenai RMHC, sila layari https://rmhc-malaysia.my/.

Latarbelakang Hospital USM

Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mula beroperasi sebagai hospital pengajar yang memberi perkhidmatan awam pada tahun 1983. Diterajui oleh Profesor Dr. Kamaruzaman Wan Su, Pengarah pertama Hospital USM bersama dua orang timbalan serta 570 orang staf pelopor. Kini, selama lebih 30 tahun berkhidmat kepada masyarakat, Hospital USM dengan bilangan staf mencecah 3,322 orang dan Pengarah Hospital sebagai penerajunya menawarkan pelbagai perkhidmatan klinikal dan sokongan klinikal bukan sahaja kepada masyarakat setempat malahan pesakit dari seluruh Malaysia.

Hospital USM telah dirasmikan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan, Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 26 Ogos 1984.Tujuan utama penubuhan Hospital USM adalah untuk menjadi hospital pengajar bagi bidang Sains Perubatan, Sains Pergigian dan Sains Kesihatan. Selain itu, Hospital USM juga menyediakan perkhidmatan rawatan kepada pesakit di samping memberi peluang kepada para penyelidik untuk menjalankan aktiviti penyelidikan.

Disokong dengan misi utama iaitu: “Hospital Universiti Sains Malaysia akan menerokai bidang-bidang baru perkhidmatan pesakit dan menjadi sebuah pusat perubatan yang cemerlang dengan memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan penggunaan teknologi perubatan terkini”, Hospital USM semakin pantas mengorak langkah kearah merealisasikan misi tersebut.

Sebagai sebuah organisasi korporat yang cemerlang, Hospital USM beroperasi dengan memberikan perkhidmatan perawatan pesakit berdasarkan kepada:
Kecekapan pentadbiran dan pengurusan 
Produk perkhidmatan yang berkualiti
Berkepentingan dalam aktiviti pengajaran dan penyelidikan
Penjanaan kewangan yang optima
Pembinaan nilai murni sumber manusia
Pemeliharaan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat

Maklumat lanjut, sila hubungi:

Nasri Nordin | Norazizan A. Manaf, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia
+603-7843.3388

Rozita Ahmad | Wan Shariena Bahrom, McDonald’s Malaysia
+603.7843.3236

Wan Azahar Wan Ahmad | Nik Sheila Erini Che Mat Kamel, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
+6017.200.2105 | +6013.985.3884

Nur Aina Farhani | Noorazwa Rahmat, LUMOS PR
+6019.434.8707 | +6011.1131.3106


4 comments:

  1. rumah ni kira macam hotel atau any parent yang berkenaan bleh duduk percuma ya, Puan? :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah syukur lah ada rumah sebegini di Hospital USM. sekurang - kurangnya beban kebajikan keluarga pesakit dijaga. d

    ReplyDelete
  3. inisiatif ini sangat bagus untuk mambantu golongan yang kurang berkemampuan

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah, semoga dengan adanya rumah ini ia dapat membantu mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan.

    ReplyDelete

Powered by Blogger.