Hukum Wanita Memakai Baju Berwarna

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Saya kongsikan pertanyaan dan diberi penjelasan daripada Dr Maza tentang hukum wanita memakai pakaian berwarna.


Dr MAZA, Begitu juga ramai wanita yang memakai pakaian yang menutup aurat tetapi berwarna terang. Tidakkah wanita hanya patut berwarna gelap? Ada yang kata semua itu haram, tidak penuh syarat pakaian Islam dan ada pula yang kata boleh. Apakah pandangan Dr Asri dalam hal ini?
Juliana, Petaling Jaya.


Jawapan Dr MAZA: 
Terima Juliana atas soalan yang dikemukakan. Syabas juga kepada saudari kerana prihatin soal pakaian wanita dalam agama kita. Wanita amat tinggi nilainya dalam Islam. Oleh kerana tingginya harga wanita dalam agama ini, maka mereka dijaga dan dipelihara oleh Islam dengan sebaiknya agar tidak tercemar atau dipandang serong. Di sini, saya nyatakan beberapa perkara berikut;

1. Peraturan pakaian wanita dalam ajaran Islam adalah bertujuan memelihara ketinggian nilai wanita dan membezakan mereka dengan wanita-wanita lain yang tidak mementingkan nilai kemuliaan. Serta mengelakkan mereka terdedah kepada gangguan orang atas andaian mereka golongan murahan. Firman Allah: 

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

(maksudnya) “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan jilbab (pakaian) mereka ke atas tubuh mereka; cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab, ayat 59). 

Maka, asas dalam membuat reka fesyen pakaian seorang wanita muslimah hendaklah berteraskan pakaian yang memberikan gambaran yang pemakainya seorang wanita yang baik dan tidak bertujuan menarik nafsu atau meransang lelaki dengan pendedahan, warna yang melampau, rekaan fesyen yang memberikan nilai yang negatif dan seumpamanya.


2. Sebelum kita pergi lebih jauh, wajar kita tahu bahawa dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah) ada yang agak ketat pandangan mereka mengenai aurat wanita, dan ada yang sederhana. Bahkan ada yang longgar sehingga menganggap soal jilbab dalam ayat Surah Al-Ahzab di atas hanya berkaitan wanita-wanita Arab sahaja. 

Ini seperti yang dinyatakan oleh al-Syeikh Muhammad Tahir Ibn ‘Asyur ketika memperkatakan ayat tersebut: “Ini peraturan yang meraikan kebiasaan Arab. Maka kaum yang tidak memakai jilbab, maka tidak terbabit dengan hukum tersebut” (Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, ms 228, al-Basair li Intaj al-‘Ilm). Ada juga yang ketat sehingga menganggap wanita keseluruhannya aurat; termasuk wajah mereka. 

Dengan itu golongan ini mewajibkan niqab (purdah). Namun jumhur (mijoriti) ulama berpendapat bahawa diri wanita memang tidak boleh didedahkan kepada kepada lelaki bukan mahramnya, tapi dikecualikan muka dan tapak tangan. 

Dalam Mazhab Hanafi, dilonggarkan sedikit lagi, maka pergelangan kaki diizin. Ini kerana pergelangan kaki sesuatu yang sukar untuk dielakkan terdedah, terutama wanita yang bertugas dengan tugasan tertentu dan pada zaman dahulu pula belum kecanggihan stokin seperti sekarang. 

Pendapat Hanafi itu ditarjihkan oleh ‘Abd al-Halim Abu Syuqqah dalam Tahrir al-Marah fi ‘Asr al-Risalah.

3. Adapun pakaian wanita yang berwarna bukanlah satu kesalahan selagi warna itu secara lojik itu tidak membawa kepada pandangan yang serong ataupun buruk terhadap dirinya. Ini kerana wanita pada zaman Nabi s.a.w, bahkan isteri-isteri dan anak perempuan baginda juga memakai pakaian berwarna. Begitu banyak riwayat yang membuktikan hal tersebut. Antaranya apa yang disebut oleh Aishah bint Sa’d: 

رَأَيْتُ سِتًّا مِنْ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَلبَسْنَ الْمُعَصْفَرَ

“Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu’asfar (berwarna merah)” (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).


Mu’asfar bermaksud dicelup dengan ‘usfur iaitu sejenis tumbuhan yang menghasilkan warna merah.
Said bin Jubair meriwayatkan: 

أَنَّهُ رَأَى بَعْضَ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، تَطُوفُ بِالْبَيْتِ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ مُعَصْفَرَةٌ

bahawa beliau lihat sesetengah isteri Nabi s.a.w bertawaf di Kaabah memakai pakaian mu’asfar (Riwayat Ibn Abi Syaibah).


‘Umar bin Al-Khattab apabila melihat lelaki memakai warna mu’asfar, akan memarahi mereka dan berkata: 

دَعُوا هَذِهِ الْبراقَاتِ لِلنِّسَاءِ

“Tinggalkan kilauan ini untuk wanita” (al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).


4. Begitu juga dalam riwayat sahih bahawa Anas bin Malik:

أَنَّهُ رَأَى عَلَى أُمِّ كُلْثُومٍ عَلَيْهَا السَّلاَمُ، بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، بُرْدَ حَرِيرٍ سِيَرَاءَ

“Dia (Anas) melihat Umm al-Kalthum puteri Rasulullah s.a.w memakai selendang daripada sutera bersulam” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Ini menunjukkan pakaian jenama mahal, halus dan berwarna yang menawan. 

Dalam riwayat al-Bukhari juga: “Isteri ‘Abd al-Rahman bin al-Zubair datang mengadu kepada ‘Aishah. Kata Aishah r.a:

وَعَلَيْهَا خِمَارٌ أَخْضَرُ

“Dia memakai pakaian berwarna hijau”.

Al-Bukhari memasukkan cerita dalam sahihnya di bawah tajuk باب ثياب الخضر (Bab Pakaian Hijau)


5. Maka kata al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (463): “Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu’asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah” (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah). Apa yang disebutkan ialah warna yang digunakan pada zaman tersebut. Sebahagian warna yang dilarang kepada lelaki, tetap dibenarkan untuk perempuan. Ada keluasan dalam masalah ini.

6. Maka wanita boleh berpakaian berwarna. Asas yang penting yang mesti dijaga hendaklah penampilan mereka tidak memperlihatkan seakan mereka wanita yang kurang baik, atau ‘memburu lelaki’ atau apa yang boleh menimbulkan sangkaan pada kebiasaannya. Warna dan jenis pakaian dinilai berdasarkan kepada anggapan sesebuah masyarakat juga. Di samping ketetapan syarak, apa yang menjadi persepsi sesebuah masyarakat mengenai sesuai fesyen hendaklah diambil kira. Ini mereka ayat 59 dalam Surah al-Ahzab itu tadi: (maksudnya) ; “cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu”.




9 comments:

Powered by Blogger.