Penghormatan MH17 : FFM26 Ditunda

EKORAN tragedi kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dan MH17 yang ditembak di Ukraine, Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) yang dijadualkan berlangsung pada 20 September depan ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Menurut Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Affendi Datuk Hamdan, penundaan itu dibuat demi menjaga perasaan sedih dan pilu ahli keluarga mangsa.
“Baru-baru ini, kita dimaklumkan tentang mangsa-mangsa tragedi MH17 akan dibawa pulang ke tanah air dalam masa yang terdekat. Malah, kerajaan juga telah menguar-uarkan pada 22 Ogos ini merupakan hari berkabung bagi seluruh Malaysia.
“Jadi, pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta FINAS sebulat suara menangguhkan acara festival filem ini,” ujarnya pada majlis pengumuman lima calon terbaik bagi 24 kategori FFM26 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ampang, Selangor.
Mengangkat Transformasi Sinema Malaysia sebagai tema FFM26 kali ini, ulas Affendi, ia begitu signifikan pada usaha kerajaan dalam membangunkan industri perfileman.

Sebanyak 112 buah filem cereka, pendek dan animasi yang merangkumi 24 kategori akan dipertandingkan.
Selain itu juga dua filem seram berentap.
Affendi turut mengumumkan lima calon terbaik FFM26 yang menyaksikan dua buah filem seram, Penanggal dan Sembunyi: Amukan Azazil bakal bersaing hebat antara satu sama lain pada FFM26 apabila meraih pencalonan terbanyak dalam majlis pengumuman Calon Top 5 FFM26.
Penanggal terbitan Astro Shaw menerima 15 pencalonan manakala filem Sembunyi: Amukan Azazil terbitan Primework Studio pula memperoleh 12 pencalonan daripada 24 kategori yang dipertandingkan.
Malah, kedua-dua filem itu juga bersaing menerusi kategori utama iaitu Pelakon Wanita Terbaik yang mempertaruhkan Ummi Nazeera (Penanggal) dan Diana Danielle (Sembunyi: Amukan Azazil).
Filem tersebut turut tersenarai bagi kategori Pengarah Terbaik masing-masing iaitu Ellie Suriaty (Penanggal) dan Kabir Bhatia (Sembunyi: Amukan Azazil) serta untuk anugerah tertinggi, Filem Terbaik.
Mengulas lanjut, kata Affendi, karya-karya yang layak bertanding adalah filem-filem yang telah ditayangkan dari Oktober 2012 hingga Disember 2013.
Petikan  dari : KosmoOnline

No comments

Give your inspiration here and thank you.

Powered by Blogger.