Kahwin bawah umur

BUKTI semakin ramai remaja terbabit dalam hubungan seks pada usia sangat muda terbentang jelas di depan mata. Ada saja laporan mengenai remaja ditangkap khalwat, lari mengikut teman lelaki hingga melepasi sempadan negara, hamil luar nikah, pembuangan dan pembunuhan bayi disiarkan di media.

Itu belum masuk bab kakitangan pembersihan majlis perbandaran yang menggeleng kepala apabila menemui banyak kondom terpakai setiap kali selesai sambutan besar-besaran perayaan tertentu atau wujudnya kelompok remaja membeli pil perancang keluarga untuk mencegah kehamilan jangka pendek.

Apabila hubungan terlarang ini membuahkan hasil, ibu bapa mula menggelabah dan mengambil keputusan nekad sama ada segera mengahwinkan anak, menghantar anak ke rumah perlindungan remaja atau memaksa anak menggugurkan kandungan untuk menutup malu dan menjaga air muka.

Persoalannya, tidak mengapakah jika remaja terlalu awal mengadakan hubungan seks atau kahwin pada usia sangat muda (bawah umur — bawah 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki)?

Perkahwinan bawah umur bukan saja memberi kesan kepada kesihatan reproduktif dan seksual, malah turut menjejaskan kesejahteraan mental, emosi, sosial dan spiritual remaja.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, kesan perkahwinan di bawah umur lebih dirasai remaja perempuan berbanding lelaki kerana mereka akan melalui proses kehamilan dan melahirkan anak.

Kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati, remaja Malaysia kini mencapai umur baligh lebih cepat iaitu antara sembilan hingga 13.5 tahun bagi perempuan dan 9.5 hingga 14 tahun bagi lelaki.

Ketika inilah berlaku pelbagai perubahan hormon yang dikaitkan dengan perlakuan tidak senonoh seperti terbabit dalam aktiviti seks, penyalahgunaan dadah mahupun alkohol.

“Kebanyakan remaja yang berkahwin bawah umur atau terbabit dalam aktiviti seks pada usia sangat muda mempunyai tahap pendidikan rendah. Maknanya mereka juga kurang mendapat maklumat dan pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan diperlukan.

“Remaja berkahwin awal akan hamil pada usia muda dan berdepan banyak komplikasi serta masalah kesihatan sepanjang kehamilan, ketika melahirkan anak dan selepasnya. Ini sebabnya kehamilan di kalangan remaja dianggap kehamilan berisiko tinggi.

“Kadar kematian ibu dan bayi juga meningkat di kalangan remaja. Ia bukan disebabkan komplikasi ketika proses kehamilan dan kelahiran saja, faktor persekitaran juga menyukarkan mereka mendapatkan kemudahan dan penjagaan kesihatan secukupnya,” katanya Seminar Kebangsaan Undang-undang Keluarga Islam Nikah Bawah Umur: Patut atau Tidak anjuran Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kebanyakan remaja tidak mendapat nasihat tepat mengenai kaedah pencegahan kehamilan dan perancangan keluarga serta sukar membeli ubat diperlukan untuk pencegahan kehamilan. Bahkan, masih ada yang percaya pada mitos turun-temurun untuk mengelak kehamilan seperti makan makanan yang ‘tajam’, melompat-lompat dan mencuci kemaluan selepas mengadakan hubungan seks atau melakukan seks ketika haid, sedangkan ia terbukti tidak berkesan.

Walaupun ada keinginan terhadap seks, pengetahuan kebanyakan remaja mengenai fisiologi dan kesihatan reproduktif sangat rendah. Ini menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan dan antara komplikasi yang berkait rapat dengan kehamilan pada usia remaja ialah:





  • Tekanan darah tinggi ketika mengandung (praeklampsia dan eklampsia — iaitu berlaku keadaan serius akibat tekanan darah tinggi pada hujung kehamilan atau sejurus selepas melahirkan anak; seluruh tubuh mengalami konvulsi dan pesakit akhirnya koma).









  • Kelahiran pramatang.









  • Kurang berat badan dan tidak cukup zat — kurang memberi perhatian kepada aspek pemakanan juga antara perkara biasa yang berlaku di kalangan remaja hamil dan ini boleh menyebabkan masalah kekurangan zat dan pucat.









  • Pucat — akibat pemakanan tidak teratur atau tidak cukup.









  • Tidak mendapat pemeriksaan antenatal sewajarnya — masalah ini biasanya dihadapi remaja yang hamil di luar perkahwinan.









  • Pengguguran — ia boleh mengancam nyawa ibu jika pengguguran dilakukan oleh orang tidak bertauliah atau dengan cara tidak selamat.









  • Kematian ibu dan bayi — kematian berkaitan kehamilan adalah punca utama kehilangan nyawa di kalangan remaja 15 hingga 19 tahun (sama ada berkahwin atau tidak). Ibu remaja berdepan risiko 20 hingga 200 kali ganda meninggal dunia berbanding wanita dalam lingkungan umur 20 hingga 24 tahun. Kematian bayi yang dilahirkan ibu remaja juga dua kali lebih tinggi berbanding ibu dewasa.









  • Kehamilan yang terlalu kerap — ini kerana mereka tidak tahu kaedah pencegahan kehamilan atau perancangan keluarga yang berkesan.









  • Jangkitan penyakit kelamin — risiko lebih tinggi jika remaja mempunyai ramai pasangan.

    Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata, perkahwinan bawah umur juga boleh memberi kesan kepada kesihatan mental, emosi, sosial dan kerohanian remaja.

    Sehingga kini dianggarkan 16,000 remaja perempuan di bawah umur 15 tahun di negara ini mendirikan rumah tangga dan kajian menunjukkan remaja yang berkahwin sebelum umur 18 tahun kehilangan empat tahun persekolahan berbanding orang yang berkahwin lebih lewat.

    “Alam persekolahan bukan sekadar tempat menimba ilmu pelajaran, di situlah berlakunya perkembangan personaliti, persediaan melangkah ke alam dewasa yang secara tidak langsung menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat serta kemampuan menjana ekonomi keluarga.

    “Anak daripada ibu yang kurang berilmu mempunyai kecenderungan mengulangi corak hidup sama seperti ibu mereka. Remaja perempuan yang kahwin awal juga kerap berdepan isu ditinggalkan sama ada perceraian atau perpisahan.

    “Di Jawa, didapati remaja perempuan yang kahwin awal berisiko tiga kali lebih tinggi untuk diceraikan berbanding mereka yang berkahwin lebih lewat,” katanya.

    Menurutnya, antara kesan perkahwinan bawah umur (dan hubungan seks terlalu awal) yang lain ialah:









  • Keciciran sekolah — Kajian juga mendapati remaja perempuan yang aktif melakukan hubungan seks lebih cepat baligh, kurang minat bersekolah dan mula berpacaran pada usia muda.









  • Perkembangan kemahiran menjaga kehormatan diri terjejas — kebanyakan remaja tidak tahu bagaimana hendak menolak pelawaan mengadakan hubungan seks, tiada kemahiran menyelesaikan masalah dan belum bijak membuat keputusan.

    Dr Hariyati berkata, meskipun sudah baligh, pemikiran remaja belum sampai ke tahap yang membolehkan mereka mengawal emosi, mampu menangani cabaran sebagai suami, isteri atau ibu bapa. Bagi remaja perempuan, mereka mungkin masih belum bersedia menjadi ibu kerana mereka sendiri masih mentah.

    Berdasarkan kajian otak yang dijalankan Institut Kesihatan Mental Kebangsaan pada 2000, bagi kebanyakan orang didapati bahagian otak yang terbabit dalam kewarasan alasan, pemikiran logikal, penyelesaian masalah, membuat keputusan dan kawalan emosi belum berkembang sepenuhnya hinggalah mereka berumur 20 tahun.









  • Tekanan — Dalam usia sangat muda, remaja terpaksa berdepan realiti kehidupan, iaitu bukan saja memikul tanggungjawab sebagai suami/ isteri dan bapa/ ibu, bahkan mereka memerlukan kemahiran membuat keputusan, penyelesaian masalah yang berkesan, pengurusan kewangan dan emosi serta keupayaan berkomunikasi dengan baik.









  • Risiko anak terabai — Masalah penjagaan anak selalu menjadi isu yang mendesak, terutama jika pasangan remaja ini perlu bekerja untuk menyara kehidupan. Oleh kerana tidak mempunyai kelulusan (pelajaran), peluang mendapatkan pekerjaan baik juga terbatas, malah gabungan pendapatan suami dan isteri mungkin masih tidak mencukupi bagi perbelanjaan mereka sebulan.

    Untuk mengatasi masalah ini, ramai akan bekerja lebih masa atau mencari pekerjaan sampingan. Akibatnya, anak pasangan remaja berisiko mengalami pengabaian, keciciran dan kekurangan zat pemakanan.









  • Kerap bertengkar dan kemungkinan bercerai — Kesukaran hidup antara faktor utama yang membuat ramai orang tertekan. Kekasaran dan keganasan dilaporkan sering berlaku apabila pasangan muda tertekan dan bertengkar. Jika ia kerap berlaku, perkahwinan mungkin tidak dapat bertahan lama.






  • Penganiayaan — Ini termasuk isteri diabaikan dan ditinggalkan sendirian selepas bersalin, bayi tidak dibawa ke klinik untuk suntikan imunisasi. Ada juga kes suami menjual bayi yang baru dilahirkan untuk mendapat wang.

    Bagi remaja hamil luar nikah, kesannya lebih besar kerana mereka kurang mendapat sokongan keluarga. Perkara ini mendorong sesetengah remaja bertindak nekad membuang bayi sendiri untuk menutup malu; dan lebih teruk jika tidak mendapat bimbingan, ada kemungkinan mereka mengulangi kesilapan.





  • Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
    norlaila@hmetro.com.my
    Sumber : HM

    ..................................................................................................................................................................

    Artikel di atas saya ambil bagi tujuan penbincangan siapa yang sudi berkongsi pendapat, bagi blogger di luar sana. Saya tahu ramai yang masih di alam persekolah dan universiti....

    Apa pendapat anda perkawinan awal usia seperti 13 hingga 16 tahun....

    2 comments:

    Powered by Blogger.