Pendidikan
Sejarah
SEJARAH PUTERI SAADONG DAN CIK SITI WAN KEMBANG : APA KESAN KEPADA MASYARAKAT
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
SEJARAH PUTERI SAADONG DAN CIK SITI WAN KEMBANG : APA KESAN KEPADA MASYARAKAT / Allhamdulillah, pagi ni nak mengimbas lalu kisah Puteri Saadong. Dah jadi sinonim dalam kedupan saya semasa kecil, saya dibesarkan dengan sejarah Puteri Saadong kerana kampung saya Kampung Kota, Kota Jelasin dikatakan tempat kota Puteri Saadong. Sekolah saya juga dikatakan halaman istana. Yang kini tempat itu sudah maju dengan Pasar Borong Wakaf Che Yeh sekarang. Di situ la saya di besarkan. Dan nama Kampung Kota, adalah sempena nama Kota Puteri Saadong.
Teringat saya masa kecil jenuh duk cari di manakah tapak kota Puteri Saadong? dan masa di sekolah rendah bila diberi tugasan oleh cikgu, saya dan rakan-rakan pergi temuramah orang-orang tua di kampung kampung Kota untuk mendapatkan matlumat tentang Puteri Saadong. Sedikit sebanyak di bawah ini daripada sumber-sumber carian google saya kongsikan sejarah Puteri Saadong.
Sejarah Pemerintahan Puteri Saadong
Pemerintahan Puteri
Saadong dikatakan berakhir pada kira-kira menjelang kurun ke-18, di akhir-akhir
pemerintahan baginda tidak langsung disebut baik mana-mana juga buku sejarah,
bahkan cerita-cerita lisan dari penduduk-penduduk negeri Kelantan pun tidak
didapati, puas juga saya menjelajah keseluruh negeri Kelantan, ke
Kampung-kampung yang jauh di pendalaman dan pernah juga saya menajalankan
kajian di bukit Marak yang dikatakan tempat akhir sekali Puteri Saadong
bersemayam tidak saya temui bahan-bahan yang boleh menolong mengesan lingkaran
sejarahnya yang berikut.
Dengan berakhirnya
pemerintahan Raja Abdul Rahim yang menggantikan pemerintahan Raja Abdullah di
Kota Mahligai dan juga pemerintahan Puteri Saadong di Bukit Marak maka muncul
semula pemerintahan di Jembal, iaitu pemerintahan Sultan umar (Raja Umar),
baginda ini ialah adik kepada Raja Loyor, dan pangkat bapa saudara pula kepada
Puteri Saadong.
Pemerintahan
baginda ini dikatakan bermula pada tahun 1675, baginda mempunyai beberapa orang
putera dan puteri, putera sulung baginda bernama Raja kecil Solong yang
dirajakan di Kota Teras (di Kampung Teras dekat Kampung Mentuan), seorang lagi
putera baginda bernama Raja Ngah atau dipanggil juga Raja Hudang memerintah di
Tebing Tinggi Pusaran Buah (Kampung Tanjung Chat), seorang puteri Sultan Umar
bernama Raja Pah telah berkahwin pula dengan Tuan Besar Long Bahar seorang
putera raja yang datang dari Patani (dalam negeri Thai).
Mengenai Tuan Besar
Long Bahar pula menurut Ringkasan Cetera Kelantan yang ditulis oleh Datuk
Paduka Raja Kelantan Nik Mahmud bin Ismail adalah putera Wan Daim ataudisebut
juga Datuk Pangkalan Tua, raja dari negeri Petani yang zuriatnya berasal dari
keturunan anak-anak Raja Bugis bernama Paqih Ali.
Tuan Besar Long
Bahar mempunyai beberapa orang saudara iaitu Tuan Solong Kelantan, Tuan Senik
Genting dan Datuk Pasir Petani. Oleh kerana terjadinya perselisihan keluarga
maka Tuan Besar Long Bahar telah merantau ke Negeri Kelantan dengan membawa
bersama seorang putera yang bernama Long Sulaiman, dan di Kelantan Long Besar
berkahwin pula dengan Raja Pah puteri Sultan Umar, kemudian Tuan Besar Long
Bahar berpindah membuka sebuah tempat yang diberi nama Kota Kubang Labu (dalam
Wakaf Baru sekarang).
Dalam tahun 1721
Sultan Umar telah mangkat dan baginda inilah juga yang disebut atau digelar
raja Udang yang mana makamnya terdapat masa ini didalam kawasan sawah padi
kira-kira dua rantai jauhnya dari sekolah
Rendah Kebangsaan Kedai Lalat, begitu juga dengan Raja Bahar kekanda baginda
yang memerintah Jembal yang mangkat pada tahun 1675 yang digelar raja ekor yang
makamnya terdapat sekarang ini dikampung Tok kambing, Mukim Sering dekat Kota
Bharu.
Dengan kemangkatan
Sultan umar makam putera sulung baginda yang bernama Raja Kecil Solong yang
sedang memerintah di Kota Teras tidak mahu mengambil alih pemerintahan di
Jembal dari ayahndanya, dan dengan persetujuan baginda jugalah lalu diangkat
adik iparnya iaitu Tuan Besar Long Bahar menjadi raja di Jembal, dan dengan itu
Kota Kubang Labu diserahkan kepada pemerintahan putera baginda yang bernama
Long Sulaiman, putera ini ialah dari isteri baginda di Patani.
Apabila
pemerintahan Jembal dan juga pemerintahan di Kota Kubang Labu terserah kepada pemerintahan
Tuan Besar Long Bahar dan putera baginda maka berakhirlah satu peringkat
pemerintahan yang berasal dari zuriat Raja sakti yang memerintah Jembal, dan
pada peringkat ini pula maka zuriat keturunan dari Tuan Besar Long Baharlah
yang memerintah Jembal juga Kota Kubang Labu keturunan dari Tuan Besar Long
Bahar ini jugalah asalnya raja-raja yang memerintah Negeri Kelantan hingga
sekarang ini.
Dalam tahun 1977
dan seterusnya hingga tahun-tahun yang kemudian saya telah menjalankan kajian
dibeberapa tempat disekitar Kedai Lalat yang letaknya kira-kira 7 batu dari
bandar Kota Bharu, di kampung tersebut terletaknyamakam-makam Raja Loyor ,
iaitu ayahnda Puteri Saadong, menurut cerita dari penduduk-penduduk kampung
sekitar yang saya dapati bahawa pada suatu ketika dulu terdapat beberapa orang
siam yang datang untuk mengorek makam tersebut, kononya orang siam tersebut
bermimpi bahawa didalam makam tersebut terdapat sebilah keris yang dianggap
keramat atau mempunyai kuasa ghaib, begitu juga saya diberitahu pernah disuatu
ketika ada orang-orang mencuri serpihan batu nisannya yang dibuat dari batu
marmar, beberapa hari kemudian serpihan itu dipulangkan semula, menurut orang
yang mengambil serpihan tersebut bahawa ia sering diganggu mimpi yang
menakutkan.
Makam Raja Udang
atau Sultan Umar mempunyai beberapa kepercayaan pula, makam ini terletak tidak
jauh dari Masjid Kedai Lalat, waktu saya melawat ke makam tersebut saya dapati
ada sebuah batu besar yang disebut batu hampar terletak berdekatan dengan makam
tersebut, orang kampung disekitar ada yang percaya batu tersebut mempunyai
kuasa-kuasa ghaib, batu tersebut sepanjang tiga kaki dan lebarnya lebih kurang
dua kaki, tebalnya kira-kira enam inci (6 inci), tidak sesiapa yang berani
mengambil batu tersebut walaupun pada hemah saya batu tersebut sangat baik
dibuat tempat membasuh kain baju, saya percaya batu tersebut digunakan untuk
membuat binaan makam, boleh jadi kerana besarnya tidak mencukupi maka lalu
ditinggal begitu saja.
Saya juga telah
melawat sebuah makam lagi di Kampung Tok Kambing iaitu kira-kira sebatu jauhnya
dari Kedai Lalat, makam tersebut ialah dikenali sebagai makam Raja Ekor atau
Raja Bahar, makam ini terdapat binaan yang dibuat dari batu pejal, sungguh
menarik kerana terdapat ukiran yang terpahat, ukiran tersebut menggambarkan
seekor burung (boleh jadi Burung Bangau) sangat menghairankan saya kerana
biasanya perkuburan islam tidak menggambarkan benda-benda hidup saperti
haiwan-haiwan.
Pahat yang
berbentuk burung biasanya mempunyai pengaruh-pengaruh dari utara terutama dari
Negeri China (meliputi negeri-negeri di Indo-China), adakah Raja Ekor ini
seorang raja yang berasal dari Indo-China ataupun boleh jadi batu makam
tersebut sengaja ditempa di Chempa (Republik Khamer) yang waktu di zaman dulu
adalah pernah menjadi sebuah kerajaan yang umat islam dan pengaruh islam.
Inilah satu perkara yng ahli-ahli penyelidik harus menjalankan pula satu kajian
yang lebih mendalam, seelok-eloknya meninjau pula kenegri-negeri di Indo-China
untuk melihat makam-makam Islam di zaman dulu yang banyak terdapat di negara
tersebut, dapatlah dibuat perbandingan dengan makam-makam raja-raja Jembal yang
terdapat di Kelantan terutama makam Raja Ekor yang masih menjadi mesteri.
PUTERI
SAADONG BUNUH SUAMI KERANA CEMBURU.
Catitan Ibnu Batutah
tentang negeri yang disebut Kilu-Kerai itu kurang jelas, baik tentang letak
negeri tersebut dan juga gaya pemerintahan Raja Perempuan yang disebut Urd-uja
itu, ialah satu perkara yang sangat rumit dapat dikesan oleh pakar-pakar
sejarah.
Dengan keterangan
yang sebegitu sedikit maka kita tidaklah boleh memberi kata putus bahawa
Kilu-Kerai itulah yang sebenarnya Kuala Kerai yang terdapat di Negeri Kelantan
sekarang ini, walau bagaimanapun perkara ini boleh diselesaikan jika sekiranya
ada pakar-pakar sejarah yang betul-betul menjalankan penyelidikan khas mengenai
perkara tersebut.
Dari beberapa
keterangan yang diperolehi yakni berdasarkan dari hikayat-hikayat lama dan juga
lain-lain catitan sejarah, adalah Negeri Kelantan telah wujud pemerintahan
beraja yang berteraskan agama Islam pada kira-kira awal kurun ke 15, dikatakan
raja yang mula-mula memerintah Kelantan yang dapat dikesan ialah Maharaja
K'Umar atau disebut juga Raja K'Umar, pemerintahan baginda adalah sekitar tahun
masehi 1411, tidak diketahui dimana letaknya pusat pemerintahan baginda,
sesetengah ahli sejarah tempatan percaya pusat pemerintahan baginda terletak di
Pulau Sabar, iaitu sebuah pulau yang terletak di tengah sungai Kelantan
berhampiran dengan Kampung laut, pulau tersebut pada masa ini telah tenggelam.
Selepas
pemerintahan K'Umar muncul pula pemerintahan Sultan Iskandar, pemerintahan
baginda berakhir pada tahun 1465 masehi kerana dibinasakan oleh Angkatan Perang
Siam (Thai), kononnya baginda dan lebih 100,000 rakyat Kelantan telah dapat ditawan
dan dibawa kenegeri Siam, tidaklah diketahui tentang nasib raja tersebut adakah
baginda mangkat di Siam atau juga dihantar pulang ke Kelantan.
Kira-kira pada
tahun masehi 1477 sebuah angkatan perang dari Melaka yang diperintah oleh
Sultan Mahmud telah datang menyerang dan mengalahkan Kelantan, Sultan Mansur
iaitu Sultan Kelantan telah dapat ditawan, begitu juga ditawan ketiga-tiga
puteri baginda iaitu Puteri Unang Kening, Cubak dan Cuban. Puteri Unang Kening
yang paling jelita itu kemudian diperisterikan oleh Sultan Mahmud Shah, maka
setelah Sultan Mansur Shah mengaku tunduk kepada pemerintahan Melaka lalu
baginda diangkat semula menjadi sultan Kelantan, sejak itu negeri Kelantan
dikira sebagai jajahan takluk Melaka.
Sultan mansur Shah
mangkat pada kira-kira tahun masehi 1526, putera baginda yang bernama Raja
Gombak telah dilantik menjadi pemerintah Kelantan, baginda bersemayam di Pulau
sabar juga, dalam tahun 1548 Raja Gombak telah mangkat dengan tidak
meningggalkan zuriat, oleh itu anak saudara baginda yang bernama Raja Ahmad
telah dilantik menjadi pemerintah Kelantan, baginda bergelar Sultan Ahmad,
menurut beberapa punca sejarah Sultan Ahmad ini mempunyai seorang puteri yang
sangat jelita yang bernama Puteri Cik Wan Kembang, dan sewaktu Sultan Ahmad mangkat
puteri ini masih kecil lagi, lalu dil;antik aeorang anak raja dari Johor yang
bernama Raja Husain memangku raja dengan bergelar Sultan Husain.
Sultan Husain yang
memerintah kelantan itu dikatakan mangkat pada tahun 1610, dengan itu lalu
dilantik Cik wan Kembang menjadi pemerintah Kelantan. Raja perempuan Kelantan
ini dikatakan berpindah dari Pulau Sabar ke sebuah tempat yang sangat jauh di
pendalaman iaitu Gunung Cinta Wangsa (terletak kira-kira 27 batu ke tenggara
Kuala Kerai).
GANJIL
Mengapa baginda
berpindah begitu jauh dari tebing sungai Kelantan adalah satu perkara yang
sungguh ganjil, biasanya pemerintahan raja-raja di zaman dahulu adalah memilih
tempat-tempat yang berhampiran dengan sungai, kerana sungailah yang menjadi
jalan dan perhubungan yang penting ketika itu.
Harus jugalah pada
fikiran raja perempuan itu bahawa tempat tersebut lebih selamat dan tenteram
dari apa juga gangguan luar, terutama sekali gangguan dari pemerintahan Siam
yang dianggap kuasa yang teragung ketika itu.
Dalam jangka yang
sama di zaman pemerintahan Cik Wan Kembang, atau pada pedagang-pedagang bangsa
Arab disebut Cik Siti (Cik Siti wan Kembang), maka di Negeri Kelantan telah
wujud sebuah lagi pemerintahan beraja yang berpusat di Jembal (Kedai lalat
sekarang iaitu kira-kira 6 batu dari bandar Kota Bharu). raja yang memerintah
disitu bernama Raja Loyor putera Raja Sakti yang berasal dari Kedah.
Ada sesetengah ahli
sejarah tempatan berpendapat yang Raja Loyor berkahwin dengan Namng Cayang yang
dikatakan seoarang raja perempuan Pattani yang melarikan diri ke Kelantan, dari
perkahwinan itu mereka beroleh seorang puteri yang diberi&127; nama Puteri
Saadong, Puteri Saadong inilah yang kemudiannya diambil oleh Cik Siti Wan
Kembang menjadi anak angkatnya, kerana baginda sendiri tidak mempunyai anak.
Puteri Saadong pula berkahwin denban sepupunya yang bernama Raja Abdullah,
kemudian Raja Abdullah telah dilantik menjadi raja di tempat yang bernama Cetak
(dalam Jajahan Pasir Mas). Tidak lama di situ Raja Abdullah berpindah pula
bersemayam di Kota Mahligai (dalam Daerah Melor sekarang).
Setelah Raja
Abdullah dan Puteri Saadong berkerajaan di Kota Mahligai, maka Cik Siti Wan
Kembang pun balik semula bersemayam di Gunung Ayam, setelah itu tidak lagi
didapati cerita tentang Cik Siti Wan Kembang adakah baginda berpindah ke tempat
lain atau mangkat di tempat tersebut.
Memanglah satu
perkara yang sukar untuk mengesantentang kedudukan tempat semayam Cik Siti Wan
Kembang yang sebenarnya, kerana di negeri Kelantan terdapatdua buah gunung yang
bernama Gunung Ayam, sebuah terletak kira-kira 17 batu ke barat Gua Musang,
gunung tersebut setinggi 2,945 kaki, terletak pula terlalu jauh dirimba yang
sangat sukar dijalankan penyelidikan, sebuah lagi Gunung Ayam terletak dekat
dengan sempadan negeri Terengganu iaitu kira-kira 15 batu ke timur laut Kuala
Kerai, gunung tersebut setinggi 2,674 kaki, terletaknya pula jauh jauh ke dalam
rimba. Gunung Ayam yang mana satu menjadi tempat dan pusat pemerintahan Cik
Siti Wan Kembang.
Waktu saya melawat
makam Tuan Tabal atau nama batang tubuhnya Tuan haji Abdul samad bin Muhammad,
seorang tokoh pengembang agama Islam yang terkenal di negeri Kelantan, yang
meninggal dunia pada tahun 1891 dan dan dimakamkan di perkuburan Banggul, jalan
ke Pantai Cahaya Bulan (Pantai Cinta Berahi), saya juga telah diberitahu oleh
Encik Nik Abdul Rahman bin Nik Dir yang memandu saya ke makam tersebut bahawa
tidak berapa jauh dari makam Tuan Tabal itu terdapat sebuah makam lama yang
sangat cantik dibina dari batu pejal serta berukir pula, makam tersebut
orang-orang Banggul menyebut Makam Cik Siti, saya juga telah makam tersebut,
kesimpulannya dari kajian saya tidak syak lagi makam tersebut adalah sebuah
makam lama dari seorang perempuan yang dari keturunan raja-raja atau
orang-orang besar juga, dan seni ukir pada binaan makamnya menggambarkan seni
ukir yang hampir persamaannya dengan makam-makam di jembal dan juga makam-makam
di permakaman DiRaja Langgar, adakah ini yang sebenarnya makam Cik Siti Wan
Kembang adalah satu perkara yang sangat menarik dan perlu dibuat kajian yang
lebih teliti.
NISAN
Berdasarkan tanah
perkuburan Banggul saya yakin adalah satu tanah perkuburan yang sangat lama,
mungkin tanah perkuburan tersebut telah digunakan beratus-ratus tahun lampau,
di perkuburan Banggul itu juga akan memperlihatkan kepada kita berbagai-bagai
jenis bentuk batu nisan yang ganjil-ganjil serta ada pula yang berukir dan
bertulis ayat-ayat Quiran yang sangat cantik dan menarik.
Dengan berakhirnya
pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang tidak dapat dikesan di akhir
pemerintahannya, maka muncullah pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai.
Pemerintahan Raja
Abdullah berakhir pada tahun 1671 iaitu apabila baginda mangkat dibunuh oleh
isterinya Puteri Saadong, lalu Puteri Saadong melantik pula Raja Rahim anak
Raja Abdullah merajai Kota Mahligai. Tidak lama setelah Raja Rahim memerintah
baginda kemudian dibunuh pula oleh rakyatnya di tepi tasik Lelayang Mandi.
Dengan kemangkatan Raja Rahim maka berakhirlah pemerintahan beraja di Kota
Mahligai.
Konon menurut cerita
Puteri Saadong telah lama ditawan dan di bawa ke Siam (Thailand) iaitu ketika
tentera-tentera Siam datang melanggar Kelantan waktu mereka mula-mula berkahwin
dan bersemayam di Kota Mahligai, selepas beberapa tahun Puteri Saadong di Siam,
baginda di hantar balik ke Kelantan. Alangkah terkejutnya Puteri Saadong bila
mendapati yang suaminya Raja Abdullah telah berkahwin lain, maka dari punca
itulh berlakunya pertengkaran dan berakhir kemangkatan Raja Abdullah dengan
tikaman pacak sanggul isterinya.
Sumber:
Oleh : N A Halim
(Muzium Negara)
Petikan :
Mingguan Malaysia 28hb.Okt.1979
Sejarah Kelantan
Sepintas Lalu (Bahagian II)
|
Ahad, 01 April 2007
|
Dalam masa
pemerintahan Cik Siti Wan Kembang memerintah di Gunung Titiwangsa, disebelah
Timur Laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi Kerajaan berpusat di
Jembal, dibawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda
mangkat, maka putera baginda Raja Loyar telah ditabalkan menjadi Raja pada
1649 M (1059H). Baginda di anugerahkan dengan dua orang cahayamata iaitu
seorang putera, Raja Sakti (mangkat sejak kecil lagi) dan seorang puteri yang
bernama Puteri Saadong.
Hubungan baik telah
terjalin diantara kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyar di
Jembal. Baginda Cik Siti Wan kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai
anak angkat yang akan mewarisi takhta Kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana
baginda tidak mempunyai puteri atau putera sebab baginda tidak berkahwin.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam berhubungkait utusan untuk meminang Puteri Saadong tetapi ditolak. Kemudiannya Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah Putera Raja Bahar Bendahara dengan tujuan untuk menyelamatkan pertalian DiRaja. Raja abdullah telah dirajakan di Kota Tengayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya berpindah ke Kota Jelasin dan Kota Mahligai. Oleh sebab mendapat tekanan yang hebat dari Maharaja Siam, maka Raja Abdullah mengizinkan Permaisurinya Puteri Saadong berangkat ke Siam, maka Raja Abdullah bertikam dengan pemacak sanggul Puteri Saadong. Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim saudara Raja Abdullah menjadi sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi. Tidak lama selepas itu Raj abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyat jelatanya ditepi TasikLelayang Mandi, dengan itu putuslah sejarah Kerajaan Mahligai. Kerajaan Mahligai dan Kerajaan Jembal wujud kembali dbawah pamerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada tahun 1675M (1086H). Sultan Omar adalah adinda kepada Raja Loyar yang sebelum itu bergelar Temenggong; Sultan Omar mempunyai lima putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Sultan Omar mangkat pada 1721M (1132H), baginda Long Bahar telah ditabalkan menjadi sultan di Jembal atas kehendak putera Sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar ialah putera Raja Petani yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahandanya dan berkahwin dengan Raja Pah, puteri Sultan Omar dan memerintah di Sening dekat Jembal. Setelah baginda Long Bahar mangkar pada 1733M (1146H), maka putera baginda Long Sulaiman ditabalkan menjadi Raja menggantikan baginda dan terus bersemayam di Kota Kubang labu, bukanya di Jembal yang terus ditinggalkan dan akhirnya menjadi sebuah perkampungan. Long Sulaiman mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Geting yang memerintah di Legih. pada 1576M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta yang akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pendak, sepupu Long Sulaiman, telah dilantik menjadi Raja Kubang labu dan adiknya pula Long Mohammad dilantik menjadi Raja Muda. kemudiannya pada 1758M, Long Pendak telah mangkat datangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pendak membunuh isterinya Tengku Tengah, iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhammad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. |
|
Sejarah Kelantan
Sepintas Lalu (Bahagian I)
|
Dalam abad ke 5
masihi, sejarahwan China Shenyao (414-512) dalam Sung Shunya sudah mencatat
nama Ho-lo-tan atau Kuo-lo-tan sebagai sebuah ibu kota di Semenanjung Tanah
Melayu. Satu abad kemudian. setengah-setengah sejarahwan percaya bahawa
kerajaan Srivijaya Pertama (Sri Vijaya Mala) telah wujud di Kelantan dan
berkembang ke Malayu, Sumatera kira-kira pada akhir abad ke tujuh. Sri
Maharaja Jayanagar telah membangunkan sebuah ibu kota di Palembang (Sri
Vijaya Ke 2). Kelantan diserahkan kepada Puteranya, Sri Maharaja DiRaja.
Kemudian Kedua-dua kerajaan ini disatukan oleh Sanjaya (Jaya Shinha) cucu
Jayanagar dalam satu empayar yang disebut oleh orang Cina, San-Fo-Tse (Tanah
Sri Indah Sekebun bunga), iaitu dalam abad ke lapan Masihi (Nik Mohamed,
1984).
Kelantan, dari semasa ke semasa, dikunjungi para pedagang dari jaun dan dekat; dari Kepulauan Melayu, Siam, Kemboja, Campa, China, India, Parsi dan Arab. Bukti bahawa Kelantan itu berkuasa luas dan menjadi pusat dagangan ialah wan dinar yang terjumpa di kawasan kota Kubang Labu. Pada dinar itu tertera kata-kata dan angka Arab; " al Julus Kelantan 577" dan di sebelahnya; "Al-Mutawakkil" bertarikh 577 ialah sanat hijriah yang bersamaan tahun 1181 Masihi. Dalam Abad 17 pula Ibnu Batuta Seorang Pengembara Arab telah singgah di satu tempat yang bernama "Kilu Krai" (Kuala Kerai di Ulu Kelantan sekarang) dan bertemu dengan seorang raja perempuan yang bernama Urduja (Saad Shukri 1971). Baginda rupawan gagah perkasa dan beragama islam. dikatakan juga baginda boleh bertutur dalam bahasa Turki. Seorang penulis Cina Chau Juo-Kua, mengatakan negeri Chi-Lan-Tan pada tahun 1222 adalah dibawah takluk kerajaan Srivijaya. Kemudian Syair Jawa Kuno Nagarakertagama karangan Prapance dalam tahun 1365 menyatakan bahawa Kelantan pada masa ini adalah sebahagian daripada Empayar Majapahit yang berpusat di Jawa Timur. Dalam tahun 1411, Kelantan diperintah oleh seorang raja yang bergelar Maharaja Kumara yang pernah mengirimkan ufti dan persembahan kepada Maharaja Cina (Rentse, 1934). Sejarah Melayu menjelaskan bahawa dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah di melaka, Kelantan telah ditaklukkan dan tiga orang Puteri Sultan Mansur Shah (1467-1521) dibawa ke Melaka. Seorang Puteri Onang Kening telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud dan sebagai hasil perkongsian ini lahirlah Raja Muzaffar yang menjadi Sultan Perak yang pertama. Kelantan dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu, merupakan kawasan yang unik kerana berperanan sebagai pusat bagibeberapa kerajaan Melayu lama dan kawasan pergolakan beberapa dinasti DiRaja yang berhubungkait dengan kerajaan-kerajaan sekitarnya seperti Ptani, Nakhon Si Thammarat, Siam, Kemboja, Champa di sebelah utara dan Terengganu, Pahang dan Johor di selatannya. Oleh yang demikian sebelum zaman Kelantan moden di bawah Long Yunus, Kelantan merupakan beberapa buah kawasan yang diperintah oleh beberapa dinasti DiRaja Melayu. Bila Sultan Mansur Shah mangkat pada 1526 M (928H), maka putera baginda Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Gombak. Setelah baginda mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat baginda, iaitu Raja Ahmad ditabalkan menjadi sultan Kelantan pada 1684 M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad. Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda kedua telah di kurniakan seorang puteri dinamakan Cik Wan Kembang. Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589 M, sewaktu puteri baignda Cik Wan Kembang berusia 4 tahun, oleh sebab itu Raja Hussain dari Johor dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintahan Kelantan. Bila Raja Hussain mangkat pada 1610 M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkan menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan kira-kira 40 km kearah tengara Kuala Krai. Pemerintahan Cik Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi mashur dan dikunjungi oleh ramai pedagang dari dalam dan luar negara, termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan Kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disayangi oleh baginda, iaitu persembahan daripada rakyat baginda yang tinggal di Gunung Ayam. Gambar kijang ini telah diterapkan diatas wang emas dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada lambang Kebesaran Negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini dengan megahnya.
Konklusi
Negeri Kelantan terkenal dengan pemerintahan wanita. Tidak dapat disangka wanita Kelantan mempunyai kepimpinan yang hebat. Walau apa pun tidak bermakna kepimpinan wanita mengatasi kepimpinan lelaki.
|
|
terima kasih atas perkongsian
ReplyDeleteleka pulak sy membaca sejarah negeri KElantan ni
ReplyDeletePenceritaan sejarah yang sangat menarik. Info yang takde dalam buku teks di sekolah2, so generasi baru ni tak aware ttg kewujudan Puteri Saadong & Cik Siti Wan Kembang. btw, saya bw sini ya :)
ReplyDeleteAboh ekin selalu bercerita pasal puteri sejarah asal usul kelantan.. Sbb katanya aboh ada mengena tok moyang dulu kata ada mengena dengan dia.. Tanam perkuburan banggul tu pernah pergi ramai saudara mara disemadikan dekat sana
ReplyDeleteralit baca word by word sejarah kelate ni..sebab kte ore kelate..hehe
ReplyDeletetp byk yang x tahu pasal kisah2 raja2 dulu2..