Solat Sunat Tasbih di Bulan Ramadhan Bersama Penghayatan Asmaul Husna



بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Solat Sunat Tasbih di Bulan Ramadhan / Allhamdulillah, Ramadhan kali ni baru saya berpeluang menghadirkan diri untuk solat sunat tasbih menerusi penghayatan Asmaul Husna.... Susah nak meloloskan diri dari ofis, so kali ni dengan izin Allah, dan Allah Yang Maha Menyusun saya meloloskan diri juga untuk menghadirkan diri untuk solat sunat tasbih ni...

Apa Itu Solat Sunat Tasbih 
Solat sunat ini dipanggil Solat Tasbih kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 kali dalam empat rakaat solatnya. Solat Sunat Tasbih dianjurkan kalau boleh tiap-tiap malam, andai kata tidak sanggup, kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

 

Fadhilat Solat sunat Tasbih

1. Dapat membuka pintu kempunan diatas segala dosa dari awal hingga akhir hidup kita.
2. Diampunkan dosa besar mahu pun kecil.
3. Diampunkan dosa yang sengaja dibuat mahupun tidak sengaja dilakukan.

Cara Melaksanakan:
.Daripada Ibnu ‘Abbas r.a.; “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada bapa saudaranya Abbas bin Abdul Muthallib; ‘Wahai al-‘Abbas, bapa saudaraku! Sukakah aku berikan, aku kurniakan dan aku ajarkan kepadamu ‘sepuluh kelebihan’ jika kamu lakukannya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa kamu dari awal hingga akhirnya, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terangan; iaitulah kamu menunaikan solat empat rakaat di mana kamu membaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah dan satu surah (yang lain), kemudian apabila selesai membaca (al-Fatihah dan surah itu) engkau bacalah ketika sedang berdiri itu; “سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر” (Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaaha Ilallah Wallahu Akbar) sebanyak 15 kali. Kemudian kamu rukuk dan semasa rukuk itu kamu membaca sebagaimana bacaan tersebut sebanyak 10 kali. Kemudian kamu angkat kepalamu dari rukuk dan membaca 10 kali juga (ketika sedang berdiri I’tidal itu). Kemudian kamu sujud dan membaca semasa sujud sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangun dari sujud dan membaca 10 kali lagi. Kemudian kamu sujud semula dan membaca 10 kali jugaKemudian engkau angkat kepalamu dari sujud dan membacanya 10 kali lagi sebelum bangun ke rakaat berikutnya. Demikianlah 75 kali pada setiap rakaat. Hendaklah kamu lakukannya dalam empat rakaat. Jika kamu dapat kerjakan solat itu pada setiap hari sekali, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali pada setiap jumaat. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap bulan. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap tahun. Jika tidak mampu juga, lakukanlah sekali seumur hidup.” (HR Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

Sebenarnya senang sahaja nak buat solat sunat tasbih ni! Setiap rakat 75 kali tasbih seperti mana penerangan di atas. Tak perlu risau kalau tak cukup tasbis anda boleh lebihkan tasbih pada rekaat yang lain. Sesungguhnya Allah Ya Hasib Dia Yang Maha Menghitung... Kita tak ada daya nak hitung dan bertasbih ni...

Mungkin ada yang menganggap lama, tak larat berdiri lama... tapi saya yakin itu prasangka awal kita. InsyaaAllah kalau dah buat sekali solat sunat tasbih ni, anda akan rasa nak buat selalu.... Bila kita dah kusyuk dengan memuji memuja Allah kita tak akan rasa penat, nak nak pada bulan yang penuh keberkatan ini, kita takkan rasa lama dan penat.

Cara Solat Sunat Tasbih


1. Niat

“Sahaja aku sembahyang sunat tasbih empat rakaat kerana Allah Taala”
  • Membaca doa iftitah , surah al-Fatihah dan diikuti dengan surah-surah yang bersesuaian antara yang dicadangkan adalah; al-Takathur, Al-Asr, Al-Kafirun dan Al-Ikhlas.
2. Cara-cara
  • Seusai membaca surah bacalah tasbih seperti di atas sebanyak 15 kali
  • Kemudian ruku’ dan selepas bacaan ruku’, bertasbihlah sebanyak 10 kali
  • Sesudah membaca bacaan I’tidal , tasbih dibaca sebanyak 10 kali
  • Ketika selesai membaca bacaan sujud, teruskan dengan bertasbih 10 kali
  • Ketika duduk diantara dua sujud, selepas membaca doa duduk diantara dua sujud, bacalah tasbih sebanyak 10 kali.
  • Selepas bacaan sujud kedua,bacalah tasbih sebanyak 10 kali
  • Sebelum bangun untuk teruskan rakaat kedua, duduk sebentar dan bertasbihlah sebanyak 10 kali.<
  • Akhiri dengan doa tasbih.
 
3. Bilangan tasbih pada setiap rakaat ialah 75 tasbih;
  • Selepas baca doa Iftitah, al-Fatihah dan surah, kita baca 15 kali tasbih
  • Rukuk – 10 kali tasbih
  • Iktidal – 10 kali tasbih
  • Sujud pertama – 10 kali tasbih
  • Duduk antara 2 sujud – 10 kali tasbih
  • Sujud kedua – 10 kali tasbih
  • Duduk sebentar (sebelum berdiri) seperti duduk diantara 2 sujud, – 10 kali tasbih.

Penghayatan AsmaulHusna Dalam Solat Tasbih

Rakaat Pertama: Bicara Hati menghayati "Subhanalla" Memuji Kesempurnaan Allah dan menginsafi kedhaifan diri.

Rakaat Kedua: Bicarahati menghayati kalimah "Allhamdulillah", memuji Allah, merenung nikmat yang dikecapi



Rakaat Ketiga: Bicarahati menghayati kalimah "Lailahailallah", menafikan daya makhluq dan mengisbatkan daya Allah.

Rakaat Keempat: Bicarahati menghayati kalimah "Allahuakhbar", membesar-besarkan Allah sambil merenung alam semesta.


Anda boleh rujuk gambarajah di atas. Bila nak baca semua tu? Selepas rakaat pertama sebelum rukuk, sesudah tasbih, boleh baca dalam hati sekejap buat bicara hati seperti "Laailahaillallah, daku menafikan adanya daya makhluk melainkan wujud dayaMu Ya Allah"....

Kelebihan Bertasbih

Bertasbih atau memuji Allah SWT merupakan satu zikir yang mudah dibaca namun amat tinggi nilai ganjaran pahala yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al- Ahzaab ayat 35:
“Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”
Bertasbih dapat menyucikan jiwa kita dari penyakit hati seperti perasaan dengki, sedih dan selalu rasa kekosongan. Sekiranya jiwa kita diisi dengan kalimah yang indah seperti tasbih insyaAllah kita akan sentiasa merasa tenang dan damai.

Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang diciptakan dengan penuh kasih sayang rugilah sekiranya masa yang dipinjamkan Allah SWT tidak dimanfaatkan sebaiknya. Sedangkan seluruh alam bertasbih kepada Allah SWT, apa lagi alasan yang ingin kita berikan.
Mungkin solat sunat tasbih tidak begitu didendangkan seperti solat sunat dhuha atau solat sunat yang lain, namun sebagai seorang khalifah di bumi Allah tidak salah andai kita praktiskan di dalam rutin harian hidup kita.

Semoga anda dapat bertasbih memuji memuja Allah dan saya doakan muslimin dan muslimat para pembaca blog ini mendapat syurga dan dibebaskan dari azab neraka... Aminnn...




2 comments:

Give your inspiration here and thank you.

Powered by Blogger.