Berbuka Yang Diharuskan

Jom kongsi tazkirah ini bersama:

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa Ramadan bukan kerana rukhsah (kelonggaran) yang dirukhsahkan oleh Allah, tidak dapat diqada dengan puasa setahun walaupun ia betul-betul (melakukan) puasa setahun itu.”
(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Huraian Hadis

1.    Ketentuan sakit untuk tidak berpuasa adalah sakit yang menyebabkan penderitaan atau menjadi semakin parah jika terus berpuasa, atau akan semakin lambat sembuhnya sesuatu penyakit. Di sisi syarak peranan ahli perubatan (doktor) adalah sangat penting dan diperlukan untuk menentukan apakah seseorang pesakit itu boleh berpuasa ataupun tidak.

2.   Kelonggaran yang biasa diharuskan untuk berbuka puasa itu ialah seperti kepada orang yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang sedang bermusafir, wanita yang mengandung dan menyusukan anak yang ditakuti akan mendatangkan mudarat kepada diri ataupun anaknya dan beberapa jenis keadaan sakit yang lain. Manakala sakit yang ringan seperti sakit kepala dan sebagainya tidak diharuskan meninggalkan puasa. Walhal meninggalkan puasa walaupun sehari, dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak merupakan satu dosa besar sebagaimana yang pernah tersebut di dalam hadis.

3.    Wanita yang haid dan wanita yang keluar darah nifas adalah golongan yang wajib berbuka puasa tetapi diwajibkan mengqada semula puasanya di bulan yang lain.

4.  Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadan kerana terlupa, maka tidak wajib qada dan tidak wajib kifarat kerana terdapat sebuah hadis Rasulullah SAW menyebutkan yang maksudnya: “Apabila ia (orang yang berpuasa) lupa, kemudian ia makan dan minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah-lah yang telah memberi makan dan minum kepadanya" (Bukhari dan Muslim). "

5.   Puasa tidak wajib hukumnya ke atas kanak-kanak yang belum baligh tetapi hendaklah dididik dan dibiasakan semenjak kecil untuk berpuasa.

Pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi Ustazah Madihah binti Mohamed Ibrahim di talian 04-928 5806 


2 comments:

  1. kalau sedut balik hingus yang kuar dari idung kire batal pose tak?? ahhaha...

    singgah2 la sini :)

    ReplyDelete
  2. sama2 lah kita menambahkan amal ibadah kita di bulan penuh kerahmatan ini

    ReplyDelete

Powered by Blogger.