Pedihnya Bila Ditegur Oleh Ustaz

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم



Pedihnya Bila Ditegur Oleh Ustaz  / Kisahnya, "Kalaulah semua orang faham apa yang ustaz ajarkan tadi, mesti selesai banyak masalah" Ujar seorang sahabat kepada saya seusai pengajian kuliah zohor tadi.

"Allah, betul sungguh tu bang. Ustaz terangkan ringkas tetapi memang padat" balas saya sambil tertunduk memikirkan betapa terasa beratnya teguran ustaz tadi.

Sahabat saya menambah "masalahnya tak semua orang nak mengaji agama. Kalaulah ramai yang nak mengaji agama, faham pula apa yang ustaz ajar, Insyaallah kita semua boleh muhasabah dan perbaiki diri".

Begitulah halnya kami tadi berbual puas  seumpama membincangkan semula kuliah zohor yang  disampaikan oleh guru kami Ustaz Dr Fadli Ghani dalam pengajian Khulasah Al Quran yang dimulai dengan Surah Al Fatihah.

Ringkasnya begini, kata ustaz, ada tiga perbincangan penting di dalam Surah Al Fatihah yang perlu kita fahami iaitu mentauhidkan Allah, kerasulan Nabi SAW dan adanya hari pembalasan yang mana ia adalah perkara dasar yang merangkumi segenap aspek kehidupan kita.

1. Makna "amin" membenarkan seluruh maksud ayat

Maka, ketika kita solat dan melafazkan kalimah "amin" setelah habis membaca Surah Al Fatihah samada ketika solat berjemaah atau bersendirian, sebenarnya kita telah bersetuju lagi membenarkan pada keseluruhan maksud ayat ayat yang terkandung didalam Surah Al Fatihah.

Yakni kita bersetuju dan meyakini dengan membenarkan Allah SWT adalah Tuhan yang disembah dan ditaati segala perintahnNya dan ditinggalkan segala laranganNya.

2. Memperjuangkan sunnah Rasulullah saw
Manakala Nabi SAW pula adalah Nabi yang diikuti serta diperjuangkan sunnah sunnahnya disamping kita mempercayai bahawa adanya balasan syurga dan neraka bagi setiap perbuatan yang kita lakukan ketika hidup ini. 

Amatlah hairan sekali sekiranya setelah selesai solat, masih ramai lagi yang tidak mahu mematuhi perintah dan larangan Allah pada perkara perkara yang lain. Antaranya aurat masih seronok ditayangkan, maksiat masih lagi tidak ditinggalkan dan banyak lagi.

Hidup pula ikut suka hati sahaja dengan tidak mahu menjadikan Nabi SAW sebagai ikutan dan sewenang wenangnya pula berbuat dosa seumpama tidak ada neraka yang akan mengazab setiap dosa.

3. Siapakah golongan yang dimurkai?
Ustaz Dr Fadli Ghani juga menerangkan maksud golongan الْمَغْضُوبِ iaitu golongan yang Allah murkai yakni orang Yahudi atau orang yang berperangai Yahudi.

Mereka ini dimurkai oleh Allah adalah kerana mereka membaca kitab Allah tetapi mereka terlalu begik dan menyombongkan diri lalu mengingkari isi kandungan kitab yang mereka baca itu.

Nah! Sama juga halnya kebanyakkan kita hari ini. Kata ustaz lagi, ramai membaca Al Quran tetapi tetap juga tidak mahu mengikuti isi kandungannya. Malahan ditentang dan diperolok olokkan umpama Al Quran itu hanya bahan bacaan yang sedap didendangkan bacaannya dipertandingan semata dan bukan sebagai panduan hidup.

Konklusi

Allah!.. tertunduk malu kami dengan teguran ustaz.

Mengakhiri bicara ringkas ini, saya menasihati diri ini dan semua agar terus mencari ilmu dan berusahalah untuk beramal dengan ilmu yang Allah kurniakan agar kita benar benar menjadi hambaNya yang taat akan segala perintah dan laranganNya. Wallahu'alam

#AkhiAdifGorment
10 Syaaban 1439H
26 April 2018



3 comments:

  1. ada kebenarannya tu kak. thanks for sharing ye

    ReplyDelete
  2. Kadang tanpa sedar pun kita boleh termasuk dalam golongan anti hadis. Memang kena menimba ilmu rajin rajin.

    ReplyDelete

Give your inspiration here and thank you.

Powered by Blogger.