UUM IKTIRAF SUMBANGAN DATUK SERI S. SAMY VELLU DAN DATUK M.NASIR


UUM ONLINE: 8 November - Sumbangan dua tokoh tersohor negara Datuk Seri S. Samy Vellu serta komposer dan penyanyi terkenal Datuk M. Nasir terhadap masyarakat dan negara diiktiraf Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah sempena Majlis Konvokesyen UUM ke-27 yang bermula hari ini.
                                                           




Tokoh politik dan pemimpin masyarakat Datuk Seri S. Samy Vellu yang juga mantan Menteri Kerja Raya dan bekas Presiden MIC dianugerahkan  Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) manakala komposer dan penyanyi terkenal Datuk M. Nasir menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Industri Kreatif).


Pengurniaan Ijazah Doktor Falsafah kepada dua tokoh tersebut disempurnakan oleh Canselor UUM,  Yang Teramat Mulia Dato' Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Tunku Panglima Besar Kedah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Ke-27 UUM.

Datuk Seri S. Samy Vellu semasa menyampaikan ucapan meluahkan rasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan UUM kepadanya.

"Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada Tunku Canselor dan Senat UUM kerana memilih saya sebagai penerima ijazah kehormat," ujarnya.

Beliau juga berkata perkara paling penting dalam mencapai kejayaan adalah pendidikan dan bagaimana seseorang individu itu menggunakan peluang yang ada.

"Sesiapa pun ada peluang untuk menjadi lebih maju. Peluang perlu dicari dan jangan duduk diam sahaja. Kejayaan dapat dicapai sekiranya kita mempunyai pemikiran sebegitu," katanya.

Sementara itu Datuk M. Nasir yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Industri Kreatif) menyifatkan penganugerahan Ijazah Kehormat tersebut sebagai penghormatan yang amat bermakna bagi seorang penggiat seni kreatif dan pencipta lagu sepertinya dan secara tidak langsung mengangkat muzik ke tahap yang lebih tinggi meskipun beberapa dekad lalu muzik dianggap sebagai kerjaya yang tidak menjanjikan masa depan.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas penghormatan yang diberikan tersebut.

"Saya terharu dan bersyukur dengan penganugerahan ijazah kehormat ini. Terima kasih kepada pihak UUM yang menghargai sumbangan saya dalam bidang muzik," katanya semasa menyampaikan ucapan selaku penerima Ijazah Kehormat.

Somber: UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

No comments

Powered by Blogger.