Filem Jin Kini di Pawagam

DUA pelakon muda ini tidak pernah digandingkan dalam sebarang projek filem mahupun drama. Namun keserasian antara Zul Ariffin, 28, dan Mon Ryanti, 26, segera tercipta apabila diberi peluang bergandingan dalam filem terbaharu arahan Pierre Andre yang berjudul, Jin.
Baik Mon mahupun Zul, kedua-dua mereka tidak pernah bekerja di bawah arahan Pierre.
Namun, mutu kerja pengarah itu membuatkan mereka berdua setuju untuk terlibat dalam filem seram tersebut.
Menurut Zul yang ditemui pada sesi fotografi di studio Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia bersetuju untuk membintangi Jin kerana Pierre.
Katanya, dia tidak pernah berpeluang untuk bekerjasama dengan Pierre sebelum ini, justeru tawaran yang diberikan dianggap satu peluang keemasan.

“Saya tahu Pierre merupakan seorang pengarah yang bagus. Syot kamera dia menarik dan rugi jika tidak mengambil peluang yang diberikan. Tambahan pula barisan pelakonnya tidak ramai, hanya saya, Mon, Imam Muda Naufal dan juga kemunculan khas Harun Salim Bachik.
“Penjelasan Pierre tentang filem Jin telah menarik minat saya kerana ia sebuah filem seram yang sangat berbeza dan agak menakutkan,” kata Zul.
Ujarnya lagi, Jin bukan filem seram pertama lakonannya kerana sebelum ini dia pernah terlibat dalam filem Penanggal.
Bagaimanapun, Jin merupakan filem seram pertama yang menampilkan dirinya sebagai pelakon utama.
“Penggambaran dilakukan sekitar penghujung tahun lalu. Ia berkisar tentang pasangan suami isteri yang berpindah ke sebuah rumah yang besar dan mewah tiba-tiba mendapati mereka diganggu jin. Menariknya, sepanjang filem ini ia hanya memfokus tentang pasangan suami isteri dan rumah tersebut.
“Plot ceritanya kelihatan ringkas tetapi pengisiannya amat padat. Bagi mereka yang suka dengan filem seram, saya yakin Jin akan menjadi pilihan mereka,” tutur Zul.
Dalam pada itu, Mon pula boleh dianggap sebagai ‘ratu’ filem seram. Ini kerana Jin merupakan filem seram keempat lakonannya selepas Keramat, Hantu Dalam Botol Kicap dan Nongkrong.
Namun, pertama kali bekerja dengan Pierre memberi pengalaman yang berbeza buat diri Mon.
“Sejujurnya, saya seorang yang penakut tetapi telah berlakon dalam banyak filem seram. Mulanya agak kekok tetapi lama-kelamaan rasa takut itu hilang, timbul pula rasa seronok.
“Bekerja dengan Pierre, bagi saya, dia seorang pengarah yang bagus. Ini kerana dia tahu apa yang diinginkan dan pada masa yang sama, dia tidak pernah menolak idea daripada pelakon untuk mencantikkan lagi filem ini,” ujar Mon.
Mengulas pula pengalaman bergandingan pertama kali dengan Zul, kata Mon, ia merupakan sesuatu yang mengujakan dan dia tidak menolak sekiranya mereka digandingkan dalam projek yang lain.
“Zul merupakan seorang pelakon yang bagus. Walaupun kami tidak pernah berlakon bersama tetapi keserasian antara kami berlaku dalam masa sehari sahaja. Dia pelakon lelaki yang paling bagus dan profesional pernah saya jumpa.
“Selepas ini, andai diberi tawaran berlakon dengan Zul, saya tidak teragak-agak untuk menerimanya kerana saya sudah tahu cara kerjanya,” tegas Mon.
Zul dan Mon sepakat yakin, Jin yang bakal menemui penonton di pawagam bermula pada 21 Ogos ini bakal mendapat sambutan yang hangat.
“Walaupun ia dibikin seperti filem indie tetapi Jin merupakan sebuah filem seram yang sangat menarik untuk ditonton. Janji saya, ia bukan sebuah filem seram yang tipikal,” kata Zul sambil dipersetujui oleh Mon.




Sumber : Kosmo

1 comment:

  1. salam ukhwah, filem seram lagi ni, ana kurang minat genre seram sb memang tak berani tengok..hehe

    ReplyDelete

Powered by Blogger.