Tegur-menegur di kata busy body! Adakah anda setuju?

Tajuk yang merupakan soalan....

Dari petikan sumber Beita Harian, ps kemukakan
dua artikel ini....

Hidupkan budaya 'jaga tepi kain' cegah kemungkaran

Ramai terlanjur berzina kerana tiada budaya tegur menegur

 Zaman sekarang budaya tegur-menegur ini sudah dianggap menjadi
satu kesalahan dalam masyarakat.

Senang cerita "jangan tegur anak saya, saya tahu nak jaga mereka"
Contoh di atas, membuatkan ramai kaum keluraga, saudara-mara,
atau jiran sekalipun tidak berani menegur antara satu sama lain....

takut dek herdik oleh ibu bapa mereka....


Persoalannya:
Ke mana perginya nilai-nilai murni dalam masyarakat,
"anak aku anak engkau, anak engkau anak aku"

Jika ia tidak boleh ditegur lagi, apa yang ada sekarang
pembuangan bayi berleluasa....
Sangat bangga dengan apa yang berlaku....

 Dimana silap nya? 
Ibu bapa, anak-anak atau masyarakat?


15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang
 
Dr. Azwira bin Abdul Aziz

Jati Diri # 12 : Mengaktifkan ‘Menara Kawalan Luaran Dan Dalaman’
  
Sebuah masyarakat Islam yang ideal akan menyediakan satu ‘menara kawalan luaran’ dalam bentuk pelaksanaan konsep amar ma’ruf dan nahi mungkar (menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar) bagi memantau aktiviti kehidupan setiap anggotanya. Masyarakat Islam bertanggungjawab untuk menghidupkan menara kawalan ini kerana ia menjadi simbol keimanan dan juga lambang kecemerlangan bagi sebuah umat. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Maksudnya:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,
kamu menyuruh kepada yang ma’ruf
dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu beriman kepada Allah”[1].
Dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Maksudnya:

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain.
Mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar…”[2].
Sesebuah umat itu hanya akan dilihat sebagai umat yang terbaik dan beriman, selagi mana anggota masyarakatnya menunaikan tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar. Demikian juga sebaliknya, jika mereka mengabaikan tanggungjawab ini maka mereka tidak lagi menjadi umat yang terbaik, sebaliknya akan dilihat pula sebagai umat munafiq. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Maksudnya:
“Orang munafiq lelaki dan perempuan,
sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama.
Mereka menyuruh kepada yang mungkar dan melarang daripada yang ma’ruf…”[3]
Manakala Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pula bersabda:
من رأى منكم منكرا فليغيره بيده
فإن لم يستطع فبلسانه
وإن لم يستطع فبقلبه
وذلك أضعف الإيمان.
Maksudnya:
“Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa)nya,
jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan lidah (perkataan)nya
dan jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya,
dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”[4].


Peristiwa di sebalik periwayatan hadith ini berlaku ketika Khalifah Marwan Ibn Al-Hakam mengubah cara solat Hari Raya dengan mendahulukan khutbah sebelum solat, lalu seorang lelaki bangun menegurnya dan mengingatkannya bahawa cara yang betul mengikut Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan mendahulukan solat sebelum khutbah. Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu 'anh (Sahabat yang meriwayatkan hadith tersebut) menyifatkan lelaki yang membuat teguran itu sebagai seorang yang telah menunaikan tanggungjawab dakwah mengikut kemampuannya[5].
Hadith ini jelas menunjukkan kewajipan setiap anggota masyarakat Islam menunaikan tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar mengikut kadar kemampuan masing-masing. Seandainya tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, maka segala kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat akan dapat diperbetulkan.
Akan tetapi malangnya menara kawalan luaran ini seolah-olah kurang berfungsi pada hari ini kerana dirobohkan oleh sistem sosial moden yang ‘mempertuhankan’ kebebasan peribadi sehingga budaya tegur menegur dan nasihat menasihati hampir hilang sama sekali. Tidak ada pihak yang berani menanggung risiko sekiranya teguran itu boleh membahayakan keselamatan diri atau menjanjikan tangan digari.
Lantaran tiada lagi budaya nasihat menasihati, tegur menegur dan ingat mengingati di kalangan masyarakat, gejala maksiat dan penyelewengan semakin berleluasa. Generasi umat Islam yang membesar dalam suasana yang terlalu bebas dan terbuka menjadi semakin liar dan bebas melakukan apa saja. Jika mereka ingin memakai pakaian yang menjolok mata, mereka akan menggayakannya tanpa menghiraukan auratnya. Jika mereka ingin bercengkerama mereka akan melakukannya tanpa menghiraukan batas halal haramnya. Jika mereka ingin menari terloncat-loncat seperti haiwan mereka akan mempamerkannya tanpa segan. Jika mereka ingin membuli rakan atau merosakkan harta benda awam mereka akan memusnahkannya tanpa menghiraukan risikonya. Jika mereka ingin merokok atau menghisap dadah mereka akan menghisapnya tanpa mempedulikan bahayanya. Jika mereka ingin melampiaskan nafsu syahwat, mereka tergamak untuk merogol, membunuh dan hatta berzina dengan ahli keluarga.
Mereka tergamak melakukan semua itu kerana mereka tahu tiada siapa yang akan menegur mereka lantaran undang-undang sosial moden yang memberi mereka kebebasan untuk melakukan apa saja. Akhirnya, hilanglah jati diri mereka bersama lenyapnya budaya amar ma’ruf dan nahi mungkar, yang sepatutnya menjadi menara kawalan utama dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat Islam perlu disedarkan bahawa akibat daripada mengabaikan tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar, mereka bukan sahaja menjadi munafiq, malah mereka juga akan dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang berlaku ke atas kaum Bani Israel. Firman Alah Subhanahu wa Ta’ala:
Maksudnya:
“Telah dilaknatlah orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud
dan Isa Putera Maryam.
Yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas.
Mereka tidak melarang antara satu sama lain
daripada perbuatan mungkar yang mereka lakukan.
Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka lakukan”[6].

 

Mengaktifkan ‘Menara Kawalan Dalaman’

Sementara ‘menara kawalan luaran’ dihidup dan dipulihkan semula oleh anggota masyarakat, maka setiap individu muslim tiada pilihan kecuali berusaha sedaya upaya untuk menguatkan ‘menara kawalan dalaman’ mereka sendiri. Apa yang dimaksudkan dengan ‘menara kawalan dalaman’ ialah kesedaran tentang hakikat kematian serta keimanan terhadap Hari Kiamat dan Hari Pembalasan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Maksudnya:
“Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan (balasan) pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari Neraka
dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka dia telah beruntung.
Sesunguhnya kehidupan dunia itu tidak lain
hanyalah kesenangan yang memperdayakan”[7].
Setiap muslim mesti yakin bahawa segala amalan yang telah, sedang dan akan dia lakukan dicatit oleh para Malaikat, sebagaimana firmanNya:
Maksudnya:
“Apakah mereka mengira bahawa kami tidak mendengar rahsia
dan bisikan mereka? Sebenarnya, (kami mendengar)
dan utusan-utusan (para Malaikat) kami sedia mencatit di sisi mereka”[8].
Laporan amalan setiap muslim dicatit dalam sebuah kitab dengan penuh teliti, merangkumi segala amalan kecil atau besar, zahir atau batin, sebagaimana firmanNya:
Maksudnya:
“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun,
nescaya dia akan melihat (balasan)nya.
Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya”[9].
Kemudian segala amalan yang tercatit itu akan dipersaksikan pula oleh seluruh anggota badannya sehingga tiada ruang lagi baginya untuk berbohong atau berdolak-dalih di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala, sebagaimana firman-firmanNya:
Maksudnya:
“Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka
terhadap apa yang telah mereka lakukan”[10].
“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, lalu bercakaplah tangan mereka kepada kami
dan kaki mereka mempersaksikan apa yang telah mereka kerjakan”[11].
“Dan (ingatlah ketika) hari musuh-musuh Allah digiring ke dalam Neraka,
lalu mereka dikumpulkan semuanya.
Sehingga apabila mereka sampai ke Neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi ke atas mereka terhadap apa yang telah mereka lakukan.
Dan mereka bertanya kepada kulit mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi ke atas kami?”
Kulit mereka menjawab: “Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai berkata,
dan Dialah yang mencipta kamu pada kali yang pertama
dan hanya kepadaNyalah kamu akan dikembalikan.
Kamu sekali-kali tidak dapat bersembunyi daripada persaksian pendengaran,
penglihatan dan kulitmu ke atasmu,
tetapi kamu sangka Allah tidak mengetahui banyak amalan yang kamu kerjakan.
Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka terhadap Tuhanmu, ia telah membinasakan kamu, lalu jadilah kamu dari kalangan orang yang rugi”[12].
Demikianlah betapa hebatnya persaksian yang akan berlaku ke atas manusia, dimulai dengan tulisan para Malaikat, kitab amalan dan seterusnya anggota badan. Maka apakah masih ada ruang untuk manusia menutup pekung di dadanya? Sesungguhnya ‘menara kawalan dalaman’ ini, jika ia benar-benar terbina di atas asas keyakinan terhadap saat kematian, Hari Kiamat dan Hari Pembalasan, nescaya mampu meneguhkan jati diri seorang muslim walau di mana, bila dan bagaimana cabaran di sekelilingnya.
Di sini kita tertanya-tanya, kenapakah ‘menara kawalan dalaman’ ini kurang berfungsi? Adakah kerana kurang pendidikan atau kerana kurang ilmu? Apakah kerana kurang ceramah atau kerana kurang menadah? Apakah kerana kurang universiti atau kerana kurang motivasi? Apakah kerana kesilapan guru atau kerana kecuaian ibubapa? Iman tetap iman, aqidah tetap aqidah, cabaran tetap cabaran, yang berbeza hanyalah zaman dan manusia. Wang kertas beribu ringgit jika jatuh ke tangan sikecil akan dikoyak dan dimusnahkannya, kerana dia tidak tahu nilainya. Demikianlah keadaan kita, kita bermain-main dengan iman dan aqidah, umpama sikecil yang bermain dengan kertas, akibatnya, jati diri kita musnah. Marilah kita sama-sama berubah.
 

 Rujukan

[1]  Ali Imran, 3:110.
[2]  At-Taubah, 9:71.
[3]  At-Taubah, 9:67.
[4]  Sahih Muslim, no:49.
[5]  Sahih Muslim, no:49.
[6]  Al-Maidah, 5:78-79.
[7]  Ali ‘Imran, 3:185.
[8]  Az-Zukhruf, 43:80.
[9]  Az-Zalzalah, 99:7-8.
[10]  An-Nur, 24:24.
[11]  Yasin, 36:65.
[12]  Fussilat, 41:19-23.
P/s: kalau rajin baca kalau tak pun tak apa... sekadar pengetahuan dan pendidkan untuk kita bersama....

4 comments:

  1. tulah kan,.. sepatutnya kita bersyukur sbb ada org yg sudi menegur kesalahan yg kita lakukan.. tp masayarakat skrg ni ego.. bongkak sbb rasa diri sentiasa betul sbb tak boleh terima teguran org lain..

    ReplyDelete
  2. tengok keadaan la..nanti xpasal2 kna maki..

    ReplyDelete
  3. pendapat sy, saya senang kalau jiran maklumkan kelakuan anak pada saya sbb biasanyer perangai anak dpn mak-pak mmg lain dari perangai depa kat luar... sbb sy pon jenis dpn mak-pak baekkkk amat tp kat luar, Allah jer tau nakalnyer...

    ReplyDelete

Give your inspiration here and thank you.

INSTAGRAM FEED