Harta, pangkat & kuasa itu kejayaan?

Assalamualaikum... selamat pagi!
ps ternampak artikel ni tulisan dari farush khan.... semua antara kita mahukan harta, pangkat dan kuasa kan... tapi ada juga yang tak meminatinya.... terpulang pada individu itu sendiri... walaupun siapa kita, ps mengingati diri sendiri yang khilaf ini, ia penting tapi harus mengikut cara agama kita.... jom baca kat bawah....

FARUSH KHAN
Manusia mentakwilkan kejayaan dengan pelbagai interpretasi.

Sebahagian besar meletakkan kejayaan pada harta, pangkat dan kuasa serta menjadikan perkara itu maksud hidup mereka.




Tetapi ALLAH meletakkan kejayaan pada kedudukan yang sangat berbeza. Pada kaca mata ALLAH, maksud kejayaan hanya satu, iaitu sejauh mana hamba-Nya patuh kepada perintah-Nya, mengikut cara yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW.

Maknanya, kalau pun kita banyak harta, pangkat dan kuasa, kita mesti solat wajib sehari semalam lima waktu. Jika kurang atau lebih, kita dikira ingkar dan tidak berjaya kerana kita tidak patuh kepada ALLAH, dengan cara yang ditunjukkan Nabi SAW.

Di mata ramai manusia, seseorang yang tidak lulus peperiksaan, dikira tidak berjaya dan tidak akan diberi sijil, biarpun dia cengkang mata dan belajar separuh mati untuk lulus.

Tetapi cara ALLAH menilai prestasi hamba-Nya berbeza daripada cara penilaian kebanyakan manusia.

ALLAH memberi ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang berusaha mencapai keredhaan-Nya, biarpun hamba-Nya itu tidak dikira berjaya dari sudut pandangan manusia.

Hamba ALLAH yang sebenar akan melakukan apa yang ALLAH suka, walaupun seluruh makhluk benci kepada perbuatannya dan dia tidak akan melakukan apa yang ALLAH benci, walaupun seluruh makhluk suka kepada perbuatan itu.

Perkiraan ALLAH sangat istimewa. Katakanlah kita ajak rakan kepada makruf dan menjauhkan diri daripada mungkar. Mereka ikut atau tidak, usaha kita itu sudah dikira mematuhi perintah ALLAH dan ALLAH memberi ganjaran mengikut kehendak-Nya.

Dalam agama, satu kejahatan dibalas satu dosa, tetapi satu kebaikan dianugerahkan dengan ganjaran berganda-ganda. Betapa pengasih dan pemurahnya ALLAH!

Terlanjur bercerita mengenai kejayaan, mari kita ambil kisah Nabi Nuh a.s sebagai contoh. Kalau kejayaan itu terletak pada prestasi seperti yang ramai manusia amalkan, Nabi Nuh a.s barangkali boleh dianggap tidak berjaya (kononnya).

Bayangkan dalam dakwah Baginda selama 950 tahun, hanya 83 orang beriman. Maknanya Baginda ada seorang pengikut lebih kurang setiap 25 tahun.

Di dunia ini, kalau seorang jurujual kereta mampu menarik cuma seorang pembeli dalam tempoh sebulan, saya kira jurujual itu besar kemungkinan dibuang kerja dalam masa 24 jam oleh majikannya kerana dia dianggap tidak layak menjadi jurujual.

Bayangkan apa akan jadi kepada seorang pemimpin pertubuhan yang mampu merekrut hanya seorang ahli dalam tempoh setahun.

Tetapi dengan prestasinya itu, Nabi Nuh a.s dianggap berjaya oleh ALLAH. Baginda adalah ulul azmi (iaitu rasul yang paling banyak menerima dugaan dan cabaran ketika berdakwah serta tabah menghadapinya) bersama empat rasul (Muhammad SAW, Isa a.s, Musa a.s dan Ibrahim a.s) dan antara 25 rasul yang wajib diketahui. Mereka semua masuk syurga dan kekal didalamnya

Kalau kejayaan terletak pada harta, pangkat dan kuasa di kaca mata ALLAH, tentunya Firaun, Namrud dan Qarun sudah berjaya, tetapi tidak. Kisah kejahatan mereka disebut dalam al-Quran, mereka ditempelak oleh ALLAH dan terus dijadikan contoh kekafiran, penghinaan dan kegagalan hingga ke hari kiamat. Mereka penghuni neraka dan kekal di dalamnya.

Jika harta, pangkat dan kuasa itu adalah segala-galanya dan menjadi maksud kejayaan, sudah tentu Nabi Muhammad SAW akan berhempas-pulas mendapatkannya; sudah pasti ALLAH akan beri kepada Baginda kerana Baginda kekasih-Nya dan pesuruh-Nya.

Tetapi ALLAH Yang Maha Mengetahui itu tidak pula berbuat demikian.

ALLAH amanahkan kepada kekasihNya suatu tugas, sedangkan tugas yang ditanggung Baginda sangat berat; banyak dugaan, banyak cabaran. Renungkanlah!


Sumber : SinarHarian



No comments

Give your inspiration here and thank you.

Powered by Blogger.