The Star diminta perjelas gambar penyanyi bertatu Allah

27/02/2012 10:31pm

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memanggil The Star untuk memberi penjelasan berhubung penyiaran gambar seorang penyanyi wanita Amerika Syarikat yang mendedahkan bahagian atas dadanya, yang tertera tatu perkataan “Allah” dalam akhbar itu.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Lee Chee Leong berkata, KDN memanggil Pengarang Urusan, Ketua Pengarang Berita dan Pengarang Kanan The Star petang ini untuk memberi penjelasan mengenai tindakan akhbar itu menyiarkan gambar berkenaan dalam edisinya hari ini.

Beliau berkata, akhbar itu juga akan diberi Surat Tunjuk Sebab untuk memberi penjelasan bertulis dalam masa seminggu kepada KDN.

"Tindakan susulan akan dibuat berdasarkan kepada penjelasan yang diberikan (akhbar itu kepada KDN),” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Dalam ruangan muziknya, The Star menyiarkan gambar penyanyi “funk”, “hip-hop” dan “soul”, Erykah Badu, 40, yang menunjukkan wajah dan bahagian atas dadanya.

Sebahagian dadanya terdedah dan tertera pelbagai tatu, termasuk perkataan “Allah”, di bahagian sisi kiri dan kanan dadanya berhampiran ketiak.

Penyanyi itu, yang berasal dari Dallas, Texas, pernah memenangi anugerah Grammy dan akan membuat persembahan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 Februari ini. - BERNAMA

Sumber; Utusan Malaysia


1 comment:

Give your inspiration here and thank you.

Powered by Blogger.