Penularan Isu Rasuah Bola Sepak


KUALA LUMPUR – Isu pembabitan rasuah 18 pemain Piala Presiden dan seorang jurulatih bola sepak musim lepas adalah perkara yang amat memalukan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sambil mengalu-alukan langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendedahkan perkara itu semalam, beliau turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Kita perlu mencari faktor atau punca kenapa berlaku perkara ini (rasuah bola sepak) dan saya akan mengarahkan pihak-pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Powerlifting Terbuka Malaysia di Stadium Titiwangsa, di sini.

Turut hadir ialah Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin dan Presiden Powerlifting Para Malaysia Kamaruzaman Kadir.

Ahmad Shabery berkata demikian sebagai mengulas pendedahan FAM semalam mengenai 18 pemain Piala Presiden dan seorang jurulatih bola sepak yang dikenalpasti terlibat dalam skandal rasuah.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata pemain berkenaan ialah enam pemain Piala Presiden dari pasukan Negeri Sembilan dan seorang jurulatih, pasukan T-Team (enam), dan pasukan MP Muar (enam).

Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilaporkan berkata pemain dan jurulatih berkenaan akan dikenakan hukuman penggantungan antara dua hingga lima tahun.

Ahmad Shabery berkata beberapa faktor seperti kelemahan kewangan serta pengurusan persatuan bola sepak negeri dan kelab perlu dikaji kerana ia boleh dikaitkan sebagai punca penyebab gejala tidak sihat itu masih berlaku dalam liga bola sepak tempatan.

Skandal rasuah pernah menggegarkan sejarah bola sepak negara pada tahun 1994 dan 1995 yang melibatkan lebih 100 pemain serta jurulatih yang disyaki mengatur keputusan perlawanan Piala Malaysia dan Liga Perdana.

Sementara itu, kejohanan Powerlifting Terbuka Malaysia anjuran Persatuan Powerlifting Para Malaysia dengan kerjasama MPM itu berlangsung selama lima hari mulai hari ini dan disertai 15 negara seperti Chile, United Kingdom, Iran, Kazakhstan, Korea dan Malaysia selaku tuan rumah.

Kejohanan yang disokong oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) itu merupakan satu daripada dua kejohanan powerlifting terakhir yang menawarkan mata untuk meraih tempat ke Sukan Paralimpik di London, Ogos ini. – BERNAMA

2 comments:

  1. eee bile la nak buang rasuah dalam mesia ni.. bnyak betol rasuah..

    ReplyDelete
  2. em... tu,la... tak blh ke hdp tanpa rasuah...

    ReplyDelete

Powered by Blogger.